Wednesday, August 4, 2010

Dari Kegelapan Cahaya

…Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. (Al-Maaidah, 15-16)

Diutuskan Rasullullah S.A.W adalah sebagai pembawa rahmat ke sekelian alam. Cahaya nubuwwahnya menerangi segenap lapisan bumi dan langit. Satu rahmat yang maha agung telah diturunkan untuk menerangi semula hati-hati yang mati dengan cahaya keimanan.

Dalam apa jua senario kegelapan, manusia akan sedaya upaya mencari cahaya sebagai petunjuk. Ibarat sebuah kapal yang belayar dilautan, susunan cahaya bintang dilangit dijadikan panduan arah pelayaran.

Eropah telah melangkaui zaman gelapnya dengan kecerahan tamadun ilmu. Tamadun-tamadun zindiq juga telah banyak yang diruntuhkan dengan kekuasaan cahaya kebenaran.

Seringkali aku tersilap dalam memilih cahaya. Aku menyangka telah memilih jalur cahaya yang benar sedangkan adakalanya cahaya-cahaya itu menipu.

Umpama menentukan masuknya waktu subuh di pagi hari, hadis nabi ada menyebutkan dengan jelasnya tentang dua benang hitam dan benang putih. Benang putih adalah jalur cahaya yang betul untuk masunya waktu subuh sedangkan benang hitam (cahaya hitam) adalah cahaya palsu ciptaan syaitan untuk mengelirukan manusia.

Aku menyangka bahawa kemewahan dunia itu adalah cahaya petunjuk yang mengeluarkan manusia dari kegelapan dan kesusahan hidup. Buktinya, setelah kekayaan dikecapipun, hati masih teraba-raba dan sentiasa merasa gelisah.

Aku merasa diriku telah cukup dan pandai dalam memilih arah tujuan hidupku, sedangkan hakikatnya aku hanya menentukan halatuju hidupku dengan pedoman nafsu.

Sebenarnya semua faktor cahaya ada dikelilingku, tetapi keegoaanku seringkali mengabaikan agen-agen cahaya yang ada. Sebenarnya, halatuju hidupkulah yang menyebabkan hati ini menjadi hitam dan dipenuhi dengan zulumat. Aku sendiri yang telah membina tembok penghalang untuk semua cahaya itu dapat menembusi kesanubariku. Lebih malang lagi adakalanya aku sendiri yang menjauhi sumber-sumber cahaya.

Aku merasakan mataku cerah dan bersinar, dapat menikmati semua keindahan ciptaan tuhan, sedangkan sebenarnya qalbi ini masih gelap dan kotor dengan kekotoran rohaniyah.

Aku sedar bahawa semua kekotoran dan kegelapan ini bukanlah bekalan yang sebenar untuk menuju ke alam sana. Semuany perlu disucikan dan dikembalikan kepada fitrah. Tetapi idea-idea itu kadangkala hanya menjadi satu angan-angan indah…dan aku tetap dengan egoku.

No comments:

Post a Comment