Tuesday, February 15, 2011

MENJALIN PERSAHABATAN CARA RASULULLAH SAW


KITA sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad SAW dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam. Mereka sama-sama terasah dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.

Persahabatan Rasulullah SAW dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik.

Keutamaan Abu Bakar di mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud:
“Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya akan berat lagi keimanan Abu Bakar.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Rasulullah SAW juga membeberkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya: “Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah menenteramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu.”

Allah SWT memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah SAW dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW menggariskan beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya :

Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman.

Sabda Baginda bermaksud:
“Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).

Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya

Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya.”

Sabda Baginda lagi :
“Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud).

Menegur kealpaan kawan di atas perkara yang benar

Ubadah Ibn As-Samit berkata:
“Rasulullah SAW mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata karena Allah.”
(Hadis riwayat Muslim).

Membantu kawan ketika kesempitan

Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

INTISARI

Mencari sahabat sejati
Persahabatan Rasulullah SAW dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Mempunyai kawan yang baik mampu membimbing kita ke arah kebaikan. Sahabat hendaklah dicari daripada kalangan orang beriman dan bertakwa. Sahabat yang mempunyai perangai dan akhlak yang buruk hendaklah dijauhi.

NADAMURNI - Rasul Ibarat Bulan Purnama

UNIT PEMBANGUNAN INSAN













Unit Pembangunan Insan berperanan mendidik generasi muda dengan membangkitkan semangat menyintai ilmu dunia dan ilmu akhirat melalui program yang mudah, ceria serta menarik.

Di samping bergembira menerokai ilmu bersama teman-teman baru, ahli NISA' berpeluang berkongsi dan menceduk pengalaman bagi mempertingkatkan peribadi dan personaliti diri bersama ahli-ahli yang lebih senior.

Antara MODUL Unit Pembangunan Insan:

*Jalan-Jalan Cari Ilmu * Modul I'm Proud 2B A Muslim
*Quranic Circle * Nisa Games
*Nisa Jamboree * Movie & Song Critix
*Personality Grooming Courses * Self Development Courses
*NISA' Xplore Race * Parables in The Quran
*OK 2 Karaoke

“Janganlah kamu memandang rendah sebarang kebaikan, walaupun
dengan hanya kamu menemui saudaramu dengan muka yang manis.”
( Hadis riwayat Muslim )

TELADAN POLITIK ISLAM PADA DIRI RASULULLAH SAW

KUALA LUMPUR, 15 Feb:

Pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ianya membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

"Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

"Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat," ujarnya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1432H.

Berikut perutusan penuh beliau.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Jasa besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati.

Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.

Sedangkan pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Saturday, February 5, 2011

Panduan Pemakanan Seimbang

Ketika menyediakan sajian harian kepada suami dan anak tersayang, seseorang wanita bergelar isteri atau ibu perlu mengetahui menu terbaik yang mementingkan pemakanan berkhasiat bagi menjamin kesihatan ahli keluarga. Namun, sejauh manakah wanita mempratikkan pemakanan sihat dan seimbang dalam kehidupan keluarga masing-masing?

Ada sesetengah mereka beranggapan sajian yang diambil berkhasiat walaupun ia sebenarnya memudaratkan. Ada juga tanggapan sesuatu makanan itu tidak penting sedangkan ia diperlukan tubuh badan.

Kebanyakan kita juga keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan pemakanan sihat dan hanya menganggap buah-buahan atau sayur-sayuran paling berkhasiat, sedangkan hakikatnya ia lebih daripada itu. Lebih membimbangkan, sikap kurang prihatin mengenai pemakanan sihat menyumbang kepada pelbagai penyakit berkaitan makanan termasuk obesiti.

Justeru, dengan harga barangan keperluan yang semakin meningkat berikutan penstrukturan semula subsidi minyak sekarang, wanita perlu bijak menyediakan menu alternatif dengan menggunakan bahan lebih murah, tetapi mempunyai khasiat sama.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pemakanan) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jamilah Ahmad, berkata garis panduan pertama yang perlu diikuti ialah setiap individu harus menikmati pelbagai jenis makanan setiap hari termasuk bijirin, buah, sayur, daging, ayam, kekacang, susu, lemak dan minyak.

"Walaupun pelbagai jenis makanan penting diambil setiap hari, ia perlu dilakukan mengikut kuantiti tertentu berdasarkan empat peringkat Piramid Makanan.

"Keperluan mengambil bijirin berada pada peringkat pertama iaitu tapak dan ia bermaksud, bahan itu paling penting kepada tubuh," katanya ketika menyampaikan ceramah seminar bertajuk Kesihatan dan Pendapatan Untuk Wanita anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), baru-baru ini.

Buah dan sayur berada pada peringkat kedua, diikuti susu, dadih, keju, ikan, daging dan kekacang (peringkat ketiga), manakala produk yang paling sedikit diperlukan tubuh berada pada peringkat pertama iaitu di puncak dan ia adalah lemak, minyak, gula serta garam.

Jamilah berkata, setiap individu perlu mengekalkan berat badan sihat dengan mengimbangkan pengambilan makanan dan aktiviti fizikal.

"Sebelum menyediakan atau mengambil setiap hidangan, ketahui nilai kalori dan pastikan hidangan yang dimakan sepanjang hari tidak melebihi nilai kalori diperlukan badan kerana ia akan menambahkan berat," katanya.

Mengambil hidangan bijirin dan buah-buahan serta sayur-sayuran juga, katanya, amat penting kepada tubuh kerana ia adalah sumber vitamin yang lengkap, tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti yang betul.

Panduan pemakanan seimbang:

Kurangkan penggunaan lemak dalam penyediaan makanan dengan mengehadkan pengambilan makanan bergoreng dan menggunakan sedikit minyak ketika memasak.

Pengambilan lemak sepatutnya tidak melebihi 30 peratus jumlah kalori harian dan jika berlebihan, ia akan membentuk plak pada dinding saluran darah sehingga menyebabkan salur darah tersumbat. Cara lain bagi mengurangkan pengambilan lemak ialah dengan menyediakan makanan rendah lemak dan memilih makanan rendah kolesterol.

Garam juga perlu diambil secara sederhana bagi mengelak penyakit darah tinggi, tetapi ia perlu ada dalam hidangan bagi keperluan tubuh. Dalam sehari, manusia hanya memerlukan 500 mg garam sedangkan mengikut ukuran satu sudu teh adalah bersamaan 2,100 mg garam. Jadi, untuk mengelak penggunaan berlebihan, pelbagai produk lain boleh digunakan sebagai sumber alternatif seperti MSG, kicap soya dan sos.

Elakkan juga penggunaan garam ketika menyedia dan memasak makanan. Elakkan menabur garam ketika menghidangkan makanan. Hadkan penggunaan sos dan serbuk perasa serta kurangkan kekerapan menghidang telur masin, ikan masin, sayur jeruk dan makanan diprosesa.

Kurangkan penggunaan gula dalam masakan dan pilih makanan yang rendah kandungan gula. Walaupun gula tidak mempunyai nutrien, ia penting dalam membekalkan tenaga. Setiap individu memerlukan 50 mg gula sehari, tetapi pengambilan berlebihan boleh menyebabkan kegemukan.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati penduduk berumur 18 hingga 59 tahun mengambil 21 gm gula pasir sehari (bersamaan 4 sudu teh) dan mereka juga cenderung mengambil 30 gm susu pekat manis sehari (bersamaan 3 sudu teh) untuk ditambah ke dalam minuman.

Panduan terbaik menyajikan hidangan rendah gula, adalah dengan menyediakan minuman dengan gula atau susu rendah lemak secara berasingan, selain mengelak daripada menyalut kek dengan gula atau ising serta menambah gula dalam jus buahan.

Paling penting, setiap individu perlu minum enam hingga lapan gelas air sehari walaupun tidak merasa dahaga. Air adalah bahan penting untuk fungsi fisiologi di dalam badan, mengekalkan suhu badan dan pengeluaran bahan sisa daripada badan.


Elak daripada meminum teh tarik ketika makan nasi atau menikmati hidangan kerana ia boleh membantutkan pembentukan hemoglobin (sel darah merah) dan akhirnya mengundang penyakit. Teh boleh diminum, tetapi dengan syarat dua jam selepas seseorang itu selesai makan nasi atau menikmati hidangan.

Garis panduan terakhir yang disarankan ialah mengamalkan penyusuan susu ibu. Ibu digalakkan menyusui bayi yang baru lahir dengan hanya susu ibu sehingga berusia enam bulan. Ia perlu diteruskan sehingga anak itu berumur dua tahun walaupun makanan pelengkap boleh diberikan ketika anak berusia enam bulan.

Susu ibu terbukti sebagai cecair kompleks yang mengandungi lebih 200 komponen terdiri daripada zat makanan dan komponen bukan pemakanan yang penting kepada bayi, selain mengeratkan kasih sayang di antara ibu dan anak.

Ketika anak berumur enam bulan atau sudah mula boleh menjamah makanan selain susu, ibu digalakkan memberi anak itu memakan produk ikan laut kerana ia mampu membantu tumbesaran otak yang baik dan tahap kecerdasan yang tinggi.

Oleh Faizatul Farhana Farush Khan